Tarikh rasmi hari ibu dan bapa 2019 di Malaysia

Info terkini telah dikemaskini pada tarikh 15 Jun 2019 jam 02:32 AM

tarikh hari ibu bapa

Sudah menjadi resam, Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun akan disambut oleh masyarakat dunia termasuk di Malaysia untuk meraikan Hari Ibu.

Kecintaan dan kasih sayang seorang anak terhadap seorang ibu dilihat lebih utama dibandingkan terhadap seorang ayah. Ini kerana jasa ibu yang telah mengandung dan melahirkan adalah anugerah yang sangat bernilai dan bermakna dalam hidup di dunia ini.

Pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi seorang ibu demi membesarkan anak-anak sejak kecil, justeru anak-anak hendaklah sentiasa berbuat baik kepada ibu dan bapa mereka pada setiap hari, bukan sahaja di hari sambutannya sahaja.

Manakala sambutan Hari Bapa di Malaysia pula diraikan pada hari Ahad minggu ketiga bulan Jun setiap tahun. Maknanya hari tersebut merupakan hari istimewa kepada kaum bapa.

Tapi biasanya, Hari Bapa baik di peringkat keluarga, kejiranan ataupun negara, sambutannya tidak semeriah menyambut Hari Ibu. Tiada kejutan berupa hadiah. Lumrahnya kaum lelaki pun tidak kisah hendak menyambutnya ataupun tidak.

Kaum bapa tidak mengharapkan penghargaan atau hadiah, cukup kalau isteri dan anak-anak memahami tugas dan tanggungjawabnya kepada keluarga dan tunjukkan rasa hormat kepada bapa. Itu sahaja sudah mencukupi.

Banyak orang kata bapa adalah antara individu paling penting dalam kehidupan keluarga. Selepas ibu, bapa merupakan orang yang bertanggungjawab membesarkan dan mencorakkan kehidupan awal kita.

Bukan hendak mengungkit atau minta simpati, hakikatnya banyak kalangan kita terlepas pandang betapa tinggi dan besarnya jasa seorang bapa. Maka tidak hairanlah ada yang menganggap Hari Bapa tidak sepenting Hari Ibu.

Jasa ibu atau bapa tidak ada bezanya. Malah, tidak terhitung nilainya, justeru tidak akan terbalas oleh kita. Jasa dan pengorbanan mereka bermula sejak kita masih belum wujud di dunia ini lagi.

Sebagai anak, kita wajib menjaga dan memberikan perhatian terhadap kebajikan ibu bapa yang sudah tua. Rajin-rajinlah melawat dan bertanyakan khabar mereka, pastikan makan pakainya terjaga, sakit pening segera diubati. Jangan tangisi pemergian mereka jika semasa hayatnya kita langsung tidak pedulikan mereka.

Tarikh Hari Ibu Dan Bapa Tahun 2019 Di Malaysia

Sambutan hari Ibu mahupun hari Bapa bukanlah suatu perayaan tetapi ianya suatu detik singkat untuk mengajak kita kembali mengingatkan suatu yang barangkali antara kita terlupa, agar kasih sayang itu dihargai, diperlihatkan sebagaimana ibu dan bapa memperlihatkannya kepada anak-anak.

Oleh itu, janganlah membiarkan ibu bapa hidup sunyi di kampung tanpa sebarang perhatian. Ingatlah, bagaimana kita melayan ibu bapa pada hari ini, mungkin begitu juga layanan yang bakal kita terima daripada anak-anak kita nanti.

SAMBUTAN HARI IBU DAN BAPA TAHUN 2019 DI MALAYSIA
PerkaraTarikh
Hari Ibu12 Mei 2019
Hari Bapa16 Jun 2019