Mengenalpasti menghuraikan kesan guna tanah terhadap alam sekitar

Guna tanah boleh difahami secara umum sebagai penggunaan tanah bagi menjalankan suatu fungsi sosial, fizikal atau ekonomi di sesuatu kawasan. Perancangan fizikal sesuatu bandar akan lebih berkesan andainya faktor keseimbangan alam diambil kira dalam pembangunan guna tanah.

Kegagalan melihat faktor alam sekitar dalam pembangunan sudah pasti mengundang bencana besar dikemudian hari.

Pada masa kini isu berkaitan dengan guna tanah semakin berkembang dan bertambah kompleks. Ini termasuklah isu penempatan bagi kawasan perindustrian, perniagaan, penternakan, rekreasi dan perumahan.

Pengurusan guna tanah yang tidak terancang di samping pelanggaran garis panduan dan rancangan struktur yang telah dirangka telah mengundang pelbagai masalah kepada orang ramai.

Misalnya terdapat kes dimana kawasan perumahan dibina berdekatan dengan tapak pelupusan sampah dan ladang ternakan haiwan. Ini menyebabkan pencemaran bau dikawasan kediaman.

Terdapat juga kawasan kilang yang dibina berhampiran dengan kawasan perumahan sehingga tiada sebarang zon penampan diwujudkan. Ini memberi kesan terhadap pencemaran bunyi dan pelepasan habuk ke kawasan kediaman.

Selain itu risiko kemalangan industri seperti pelepasan gas berbahaya, letupan dan kebakaran boleh mengancam keselamatan penduduk sekitar yang tinggal berdekatan.

Tidak kurang juga isu tentang penempatan perumahan di kawasan tanah tinggi dan lereng bukit sehingga berlakunya masalah tanah runtuh dan hakisan tanah.

Banjir kilat yang sering berlaku di kawasan bandar juga banyak berpunca disebabkan kehilangan kawasan tadahan air di bandar. Kesemua kes ini memberikan implikasi besar kepada kehidupan orang ramai. Pelbagai aduan mengenai pencemaran alam sekitar dan risiko bencana dilaporkan tetapi langkah penyelesaian masih tertangguh sehingga bencana berlaku. Sampai bilakah hal ini akan berterusan terus menjadi persoalan.

Close