Cadangan usaha mengatasi kesan guna tanah PT3 Geografi 2018

Info terkini telah dikemaskini pada tarikh 19 Disember 2018 jam 11:13 AM

Guna tanah merujuk kepada semua aktiviti manusia yang mengubah dan menyesuaikan permukaan tanah untuk memenuhi keperluan manusia. Namun ianya pasti mendatangkan implikasi atau kesan pencemaran terutamanya terhadap alam sekitar.

Pencemaran boleh dimaksudkan sebagai percampuran sesuatu benda atau perkara yang tercemar masuk ke dalam sesuatu perkara yang positif. Perkara tercemar tersebut akan memberikan kesan-kesan yang buruk kepada alam sekitar, budaya dan bangsa sekiranya tidak di tangani.

Antara pencemaran alam sekitar yang disebabkan oleh kesan guna tanah ialah, Pencemaran Air, Pencemaran Udara, Pencemaran Tanah, Pencemaran Radioaktif, Pencemaran Bunyi, Pencemaran Haba, dan Pencemaran Bau.

Berikut merupakan maklumat cadangan usaha-usaha untuk mengatasi kesan guna tanah berkaitan dengan pencemaran alam sekitar yang boleh dijadikan panduan kepada calon-calon menjalankan kerja kursus PT3 Geografi 2018 (instrumen pelbagai) berhubung dengan perkara ini.

CADANGAN USAHA MENGATASI PENCEMARAN TANAH
Pencemaran tanah dapat ditakrifkan sebagai perbuatan yang berlaku kepada sesuatu kawasan sehingga terjadi pertukaran warna, kesuburan dan hakisan. Ia disebabkan oleh bahan buangan dalam bentuk cecair atau pepejal.

Cadangan Mengatasi

1. Pendidikan Alam Sekitar merupakan salah satu kaedah yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi masalah pencemaran tanah. Pendidikan alam sekitar dapat membentuk sikap positif diri terhadap alam sekitar. Dengan adanya kesedaran pada seseorang individu, dia akan sedar tentang betapa pentingnya kualiti alam sekitar yang tinggi dikekalkan.

2. Kempen Kesedaran juga boleh dilakukan untuk mengurangkan masalah pencemaran alam sekitar. Antara kempen-kempen alam sekitar yang boleh dilaksanakan adalah kempen cintailah sungai kita, kitar semula,dan sahabat alam. Dalam kempen ini peserta akan diajar tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan sebagainya.

3. Pendedahan Media Masa juga merupakan salah satu cara yang boleh di ambil untuk menangani isu pencemaran tanah. Pada hari ini, media masa memainkan peranan yang penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Oleh itu, dengan adanya pendedahan media masa tentang isu pencemaran alam, masyarakat umum akan berhati-hati dalam menangani masalah pencemaran.

CADANGAN USAHA MENGATASI PENCEMARAN AIR
Kuat Kuasa Undang-Undang
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberi kuasa untuk mengawasi mana-mana kilang di negeri masing-masing. Oleh itu, jika ada kilang yang tidak mematuhi akta kualiti alam sekitar seperti membuang sisa toksik ke dalam sungai, penduduk di sekitarnya boleh membuat aduan kepada PBT untuk diambil tindakan selanjutnya.
Rawatan Air Kumbahan
Bagi memastikan air kumbahan dari sektor perumahan dan perhotelan yang dialirkan ke sungai tidak mencemari sumber air ini, air kumbahan itu perlulah dirawat. Di setiap negeri terdapat konsortium yang dipertanggungjawabkan merawat air kumbahan. Contohnya Konsortium Indah Water merupakan agensi yang berperanan penting memastikan air kumbahan ini dirawat di logi-logi yang terdapat di kawasan perumahan, kompleks membeli belah dan kawasan perhotelan.
Kempen Cintai Alam Sekitar
Bagi memastikan sumber air seperti sungai tidak tercemar. beberapa kempen dijalankan di TV oleh Jabatan Alam Sekitar. Antaranya “Sungaiku, Hidupku” dan Projek Sungai Angkat yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan di daerah masing-masing.
Pendidikan Alam Sekitar
Bagi menimbulkan kesedaran pentingnya menjaga sumber alam supaya tidak tercemar, beberapa persatuan atau badan bukan kerajaan telah ditubuhkan. 
Antaranya ialah Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) dan Tabung Alam Malaysia (WWF). Malah di peringkat sekolah juga ditubuhkan kelab atau persatuan yang menjadi ahli persatuan ini di peringkat kebangsaan seperti Kelab Pencinta Alam dan Kelab LEO. Melalui aktiviti seperti Sambutan Hari Bumi Sedunia oleh MNS, telah menyemaikan rasa tanggungjawab dan kesedaran kepada setiap individu untuk menjaga alam sekitar.
CADANGAN USAHA MENGATASI PENCEMARAN UDARA
Menghijau Kawasan
Penanaman pokok seperti pokok buah-buahan di persekitaran taman perumahan dapat mengurangkan masalah peningkatan suhu. Selain itu, kandungan karbon dioksida dalam udara dapat dikurangkan dan meningkatkan kandungan gas oksigen melalui proses fotosintesisnya.
Penggunaan Petrol Tanpa Plumbum
Penggunaan petrol tanpa plumbum dapat mengurangkan kandungan plumbum dalam pelepasan asap kenderaan. Langkah ini dapat mengurangkan masalah jerebu yang sering berlaku di waktu pagi dan juga dapat mengelakkan masalah kesihatan seperti batuk dan selsema daripada berlarutan.
Program Kitar Semula
Udara yang tercemar akibat pembakaran terbuka yang dilakukan penduduk di sekitar taman perumahan boleh diatasi dengan menggalakkan mereka menjual barang-barang yang boleh dikitar semula kepada peniaga barang terpakai. Antara barang yang boleh dikitar semula ialah surat khabar, majalah lama, kertas terpakai dan kotak kertas. Barang-barang ini boleh diproses semula untuk menghasilkan kertas baru.
Meninggikan Serombong Asap Dan Memasang Alat Penapis Asap
Pihak berkuasa mesti mewajibkan pihak kilang meninggikan serombong asap 30 meter ke udara. Disamping itu, serombong asap itu hendaklah dipasang alat penapis asap agar asap yang dilepaskan adalah asap bersih yang telah dirawat dan tidak mencemarkan udara.
Penguatkuasaan undang-undang
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberi kuasa untuk mengawasi mana-mana kilang di negeri masing-masing. Oleh itu, jika ada kilang yang tidak mematuhi akta kualiti alam sekitar, penduduk di sekitarnya boleh membuat aduan kepada PBT untuk diambil tindakan selanjutnya.
Kempen Kesedaran Awam
Kempen mencintai alam sekitar yang disiarkan dalam TV dan radio hendaklah dihayati supaya alam sekitar kita terpelihara. Rasa tanggungjawab perlu disemai dalam diri setiap individu agar alam sekitar bersih dan selamat untuk generasi akan datang.
CADANGAN USAHA MENGATASI PENCEMARAN BUNYI
Penguatkuasaan Undang-Undang
Melalui penguatkuasaan undang-undang, banyak sumber-sumber pencemaran bunyi dapat dikurangkan. Kebanyakan negara menggunakan undang-undang tersebut untuk mengurangkan pencemaran bunyi yang semakin berleluasa terutamanya pencemaran bunyi dari kenderaan bermotor. Undang-undang tersebut juga ada digunakan di Malaysia. Ia meliputi kenderaan bermotor, penerbangan tempatan, kualiti alam sekeliling, kilang dan jentera dan lain-lain.Melalui undang-undang tersebut, sesebuah negara dapat mengurangkan secara tidak langsung kuantiti pencemaran bunyi kepada kadar yang lebih minimum sekaligus dapat mengurangkan risiko kesan pencemaran tersebut kepada manusia..
Kawalan Secara Teknikal
Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan dalam kawalan secara teknikal. Teknologi yang semakin membangun pada masa kini dapat mengurangkan atau menyingkirkan bunyi.
Sebagai contoh, untuk mengurangkan bunyi di jalan raya, penggunaan halangan bunyi, mengehadkan kelajuan di kawasan-kawasan yang mempunyai ramai penduduk, menukar tekstur jalan, mengubah reka bentuk tayar dan lain-lain.Dengan kemajuan teknologi yang semakin maju, bunyi bising dari kapal terbang juga dapat dikurangkan dengan mereka bentuk enjin jet yang lebih senyap. Ini dapat mengurangkan tahap bising untuk penduduk yang menetap berhampiran di kawasan lapangan terbang.Kebisingan hasil dari kawasan perindustrian juga dapat dikurangkan dengan mereka bentuk semula peralatan perkilangan, memasang sistem penggantungan dan halangan fizikal di tempat kerja.