Peraturan baru JPJ peratusan cermin gelap (tinted) kereta 2019

Info terkini telah dikemaskini pada tarikh 8 Mei 2019 jam 12:09 AM

jpj tinted

Kenderaan motor milik persendirian kini dibenarkan pemasangan tinted filem gelap sepenuhnya (tiada had peratusan ketelusan cahaya VLT) bagi cermin sisi dan belakang penumpang apabila Kementerian Pengangkutan membenarkan penggunaan cermin gelap sepenuhnya pada bahagian cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta belakang kenderaan persendirian yang akan berkuat kuasa mulai 8 Mei 2019.

Walau bagaimanapun, kadar peratusan cermin gelap pada bahagian cermin depan kenderaan serta cermin sisi kanan dan kiri pemandu kekal seperti sedia ada (tidak berubah) iaitu kadar ketelusan cahaya tampak bagi bahagian cermin depan kenderaan adalah 70 peratus manakala bagi cermin sisi kiri dan kanan pemandu adalah 50 peratus.

Harus diingatkan bahawa pindaan bagi kadar ketelusan cahaya tampak cermin kiri dan kanan penumpang serta belakang tidak membabitkan kenderaan motor yang didaftarkan dan digunakan untuk pengangkutan awam dan barangan.

Dalam pada itu, bagi mana-mana kenderaan persendirian yang mahu menggelapkan semua cermin kenderaannya boleh memohon untuk menggunakan cermin lebih gelap sama ada menerusi menggunakan lapisan filem atau penggunaan kaca lebih gelap yang menjadikan peraturan cahaya tampak adalah kurang, atas sebab khusus seperti faktor keselamatan atau kesihatan.

Bagi setiap permohonan yang dikemukakan atas faktor keselamatan, akan dikenakan fi perkhidmatan RM50 bagi setiap permohonan. Setiap permohonan yang diluluskan dikenakan fi RM5,000 dan setiap kelulusan diberikan untuk tempoh dua tahun manakala individu yang diluluskan penggunaan cermin lebih gelap hendaklah memohon semula apabila tempoh sah laku tamat dan akan dikenakan fi sama dalam setiap permohonannya.

Bagi permohonan pengecualian atas faktor kesihatan perlu mendapat pengesahan bertulis daripada pakar perubatan kerajaan dan akan dikecualikan daripada dikenakan fi.

Infografik Panduan Dan Peraturan Baru JPJ Pemasangan Cermin Gelap

Bagi memudahkan pemilik kenderaan persendirian untuk memahami dengan peraturan baharu cermin gelap (peratusan ketulusan cahaya VLT), sila rujuk kepada infografik yang disertakan di bawah.

jpj peraturan tinted