Panduan terkini niat cara solat hari raya Aidiladha

Info terkini telah dikemaskini pada tarikh 2 Oktober 2019 jam 06:03 PM

solat aidiladha

Tanggal 10 Zulhijah merupakan hari yang cukup bermakna bagi umat Islam di seluruh dunia kerana sekali lagi berpeluang meraikan sambutan Aidiladha atau Hari Raya Korban.

Aidiladha antara hari kebesaran Islam yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-Nya setelah berjaya menunaikan perjuangan ibadah yang cukup besar yakni ibadah haji.

Hari Raya Korban adalah hari perayaan yang membawa bersama mesej dan pengajaran penting yang berkait rapat dengan kesatuan umat. Walaupun umat Islam di seluruh dunia terdiri daripada pelbagai bangsa, bahasa, warna kulit, budaya dan negara, namun mereka ialah umat yang satu dan menyembah Tuhan yang satu yakni Allah SWT.

Sambutan Aidiladha juga adalah hari bagi seluruh umat Islam mengagungkan asma Allah dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih serta menegakkan syiar Islam dengan melaksanakan ibadah korban bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Pelaksanaan ibadah korban adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat kurniaan-Nya. Selain itu, ibadah korban juga dapat melatih umat Islam agar dapat mengikis sifat tamak dan bakhil dalam mengeluarkan harta serta melahirkan sifat murah hati untuk membelanjakan harta ke jalan Allah SWT demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti golongan fakir dan miskin.

Semangat berkorban ini harus disuburkan dalam diri kita dan seluruh anggota masyarakat, yakni semangat untuk memberi dan bukan menerima yang seharusnya menjadi sebahagian daripada budaya hidup kita. Semangat tangan di atas lebih mulia daripada tangan di bawah inilah yang sewajarnya diterapkan dan menjadi sifat utama orang yang bertakwa yang sentiasa berinfaq baik dalam keadaan lapang mahupun sempit.

Aidiladha masa yang tepat untuk kita mendalami makna di sebalik ibadah haji yang melambangkan kebersamaan dan kesatuan umat. Hikmah ibadah haji adalah cukup indah, yakni proses pentarbiahan kita tentang solidariti sosial, ukhuwah Islamiyah, perdamaian, kesucian, kebersihan, serta kepedulian terhadap umat Islam yang lain melalui pengagihan sembelihan korban.

Syariat berkorban menegaskan bahawa umat Islam memiliki empati dan simpati antara sesama insan, memperkukuh dan menguatkan hubungan dengan Allah serta mengeratkan hubungan sesama manusia yang secara jelas memperlihatkan penegasan bahawa kebersamaan adalah nilai keutuhan umat.

Oleh itu, ibadah korban adalah bentuk pengorbanan yang bertitik-tolak daripada kesedaran tentang nilai-nilai luhur terutamanya dalam hal-hal yang berkait rapat dengan perjuangan menghindari sifat ego dalam diri sendiri. Setiap daripada kita perlu menyedari bahawa semua umat Islam adalah bersaudara dan tunjang utamanya adalah ketakwaan kepada Allah.

Niat Dan Panduan Terkini Cara Solat Hari Raya Korban / Haji / Aidiladha

Solat hari raya Iduladha dua rakaat hukumnya sunat, segala rukun dan syarat serta sunatnya sama seperti solat fardu yang lima, kecuali perkara sunat yang ditambahkan iaitu bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara tiap-tiap takbir.

LAFAZ NIAT SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILADHA
 اُصَلِّىْ سُنَّةً عِيْدِ اْلاَضْحَى رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى
Usalli Sunnatan LiAidil Adha Rak’ataini Makmuman Lillahi Ta’ala
Sahaja Aku sembahyang Sunat Hari Raya Aidil Adha Dua Rakaat Makmum Kerana Allah Ta’ala
CARA MENUNAIKAN SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILADHA
Rakaat Pertama
1. Di mulai dengan lafaz takbir ratulihram dengan menyebut Allah hu Akbar disertakan dengan niat di dalam hati.
2. Membaca doa iftitah
3. Lafaz takbir tujuh kali diselangselikan dengan bacaan tasbih (setiap kali takbir diikuti dengan bacaan Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ilaha illallah, Wallahu akbar
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُُ وَاللهُ أَكْبَر
4. Membaca surah al- Fatihah
5. Membaca surah al –Quran (di sunatkan membaca surah al-A’laa)
6. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama
Rakaat Kedua
1. Di mulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua)
2. Lafaz takbir lima kali diselangselikan dengan bacaan tasbih (setiap kali takbir diikuti dengan bacaan Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ilaha illallah, Wallahu akbar
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُُ وَاللهُ أَكْبَر
3. Membaca surah al- Fatihah
4. Membaca surah al-Quran (di sunatkan dalam rakaat kedua membaca surah al-Ghaasyiyah)
5. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua
6. Memberi salam