Panduan terkini niat dan cara solat hari raya Aidilfitri

Info terkini telah dikemaskini pada tarikh 7 Mei 2019 jam 11:58 AM

cara solat hari raya aidilfitri

Hari ini, 1 Syawal 1440 Hijrah adalah hari kemenangan bagi seluruh umat Islam sesudah Ramadan yang penuh barakah kita lalui dengan penuh kesabaran dan ketakwaan. Umat Islam di Malaysia merayakan Aidilfitri pada 5 Jun 2019 yang jatuh pada hari Rabu.

Hari Raya Aidilfitri dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia dengan membawa satu sikap, jiwa dan tindakan yang menunjukkan keperibadian serta identiti umat itu sendiri.

Aidilfitri juga puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya, kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam.

Berhari raya juga bererti kembali kepada jati diri manusia sebagai hamba Allah, kepada fitrah kejadian manusia. Di alam azali lagi iaitu sebelum wujud sebagai manusia, kita telah mengakui keesaan Allah SWT dan berjanji untuk mentaati perintahnya.

Kemudian, diikuti dengan sikap merendah diri dengan bersujud kepada-Nya dan melaksanakan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

Niat Dan Panduan Terkini Cara Solat Hari Raya Puasa Aidilfitri

Aidilfitri disambut penuh kesyukuran, tunduk dan sujud kepada Allah dengan menunaikan solat hari raya, iaitu solat sunat dua rakaat pagi 1 Syawal. Hukumnya sunat muakkad (dituntut atau digalakkan).

Mandi sebelum solat hari raya. Selepas mandi sunat memakai haruman yang dibolehkan dibawa sembahyang dan pakaian yang baik, membersih dan menghilangkan bau badan serta memotong kuku.

NIAT MANDI SUNAT HARI RAYA AIDILFITRI
نويت الغسل لعيد الفطر سنة لله تعلى
Nawaitul Ghusla Li i’dil fitri Sunnatallilahi Ta’ala
Sahaja Aku Mandi Sunat Aidil Fitri Kerana Allah Ta’ala
PANDUAN TERKINI CARA DAN NIAT SEMBAHYANG (SOLAT) SUNAT HARI RAYA PUASA (AIDILFITRI)
Solat hari raya Idulfitri dua rakaat hukumnya sunat, segala rukun dan syarat serta sunatnya sama seperti solat fardu yang lima, kecuali perkara sunat yang ditambahkan iaitu bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama dan lima kali pada rakaat yang kedua, disertakan dengan bertasbih di antara tiap-tiap takbir.
LAFAZ NIAT SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILFITRI
أُصَلِّي سُنَّةَ لِعِيْدِ الْفِطْرِ رَكْعَتَيْنِ مَأْمُوْمًا لِلَّهِ تَعَالَى
Usalli Sunnatan LiAidil Fitri Rak’ataini Makmuman Lillahi Ta’ala
Sahaja Aku sembahyang Sunat Hari Raya Aidil Fitri Dua Rakaat Makmum Kerana Allah Ta’ala
CARA MENUNAIKAN SOLAT SUNAT HARI RAYA AIDILFITRI
Rakaat Pertama
1. Di mulai dengan lafaz takbir ratulihram dengan menyebut Allah hu Akbar disertakan dengan niat di dalam hati.
2. Membaca doa iftitah
3. Lafaz takbir tujuh kali diselangselikan dengan bacaan tasbih (setiap kali takbir diikuti dengan bacaan Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ilaha illallah, Wallahu akbar
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُُ وَاللهُ أَكْبَر
4. Membaca surah al- Fatihah
5. Membaca surah al –Quran (di sunatkan membaca surah al-A’laa)
6. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat pertama
Rakaat Kedua
1. Di mulai dengan lafaz takbir intiqalat (takbir permulaan rakaat kedua)
2. Lafaz takbir lima kali diselangselikan dengan bacaan tasbih (setiap kali takbir diikuti dengan bacaan Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ilaha illallah, Wallahu akbar
سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ ِللهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُُ وَاللهُ أَكْبَر
3. Membaca surah al- Fatihah
4. Membaca surah al-Quran (di sunatkan dalam rakaat kedua membaca surah al-Ghaasyiyah)
5. Meneruskan solat sehingga selesai rakaat kedua
6. Memberi salam