Siaran langsung upacara angkat sumpah Tun Dr Mahathir PM ke 7

Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh pada jam 9:30 malam ini (Khamis, 10 Mei 2018) di Istana Negara.

Persoalan yang berlegar dalam fikiran rakyat Malaysia serta pemerhati politik negara sejak petang Khamis, mengenai upacara angkat sumpah untuk jawatan Perdana Menteri Malaysia yang baharu akhirnya terjawab selepas Pegawai Istana Negara mengesahkan perkara itu, selain turut dimuat naik di laman Facebook rasmi Mukhriz Mahathir FC, bersama gambar Tun Mahathir.

Dalam pada itu, sebuah video berdurasi pendek memaparkan Tun Dr Mahathir Mohamad menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran Proton 2020, dalam perjalanan dari Petaling Jaya menuju ke Jalan Duta, Kuala Lumpur, untuk menghadiri upacara angkat sumpah sebagai perdana menteri ke-7 Malaysia turut dikongsikan oleh media.

Terdahulu, pada sidang media Pakatan Harapan (PH), Dr Mahathir berkata beliau perlu segera mengangkat sumpah kerana kerajaan baharu perlu ditubuhkan secepat mungkin selepas mandat kerajaan sementara tamat malam tadi (9 Mei 2018).

Tun Dr Mahathir Mohamad turut menjelaskan bahawa punca utama kelewatan majlis angkat sumpah beliau selaku perdana menteri baharu adalah kerana Yang di-Pertuan Agong kurang jelas mengenai siapa sebenarnya pemimpin nombor satu PH.

Siaran Langsung Istiadat Mengangkat Sumpah Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke – 7 turut disiarkan secara siaran langsung bermula pada jam 9:30 malam di saluran-saluran televisyen Malaysia.

Close